2. Bahan ABM.
Saya telah membuat seekor ikan dengan menggunakan beberapa bahan. Ikan ini boleh digunakan oleh guru untuk sesi bercerita agar murid-murid berasa lebih teruja untuk mendengar cerita yang guru sampaikan. Tambahan pula, pergerakan juga boleh dilakukan secara manual di hadapan murid-murid. Bagi saya, ia adalah salah satu kaedah yang menarik untuk sesi PDP. :)
Di sini saya sertakan 11 keping gambar ikan yang telah dibuat daripada beberapa sudut.
Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat ikan ini adalah :
1. Pinggan kertas
2. Kertas warna
3. Pen marker
4. Gam
5. Chopstik
6. Gunting
7. Reben
3. Esei Teknologi Pendidikan.
GGGE2153
TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN
TUGASAN
KUMPULAN :
ESEI
AKADEMIK – KEPENTINGAN & KEKANGAN PENGGUNAAN ICT DALAM PENDIDIKAN SERTA CADANGAN UNTUK
MELAKSANAKAN DASAR ICT DI SEKOLAH
NAMA PENSYARAH :
ENCIK MD YUSOF BIN DAUD
NAMA AHLI KUMPULAN :
1) SITI
AISYAH FATIMAH BINTI ZAILANI (A143889)
2) FARHANA
BINTI CHE MUNI (A143871)
3) NURUL
‘AQILAH BINTI MD HAPIDZ (A143887)
KEPENTINGAN
TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN
Menurut
kamus dewan edisi keempat, teknologi merujuk kepada aktiviti atau kajian yang
menggunakan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan,
perniagaan dan pendidikan. Teknologi juga bermaksud kaedah atau proses
menangani sesuatu masalah teknikal. Teknologi berkaitan dengan pemerolehan,
penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran
maklumat secara elektronik melalui penggunaan teknologi komputer dan
telekomunikasi.
Teknologi
dalam pendidikan bukan lagi suatu isu yang baru untuk dibincangkan. Pengajaran
berasaskan teknologi seperti komputer,
perisian dinamik bergrafik mahupun media teknologi maklumat sering
digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Terdapat beberapa strategi
pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru untuk mengaplikasikan teknologi
dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Antaranya
menggunakan paparan multimedia, internet dan perisian interaktif yang kaya
dengan teknologi terkini. Untuk memastikan teknologi digunakan di dalam kelas,
maka guru perlu mempunyai persepsi dan kesediaan terhadap teknologi yang
digunakan. Ini kerana persepsi guru terhadap teknologi maklumat memainkan
peranan yang penting sebagai faktor yang menentukan keberkesanan penggunaan
komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik (Yushau, 2006).
Dalam
Pelan Rancangan Malaysia Kesembilan juga memberi perhatian terhadap kepentingan
teknologi dalam pengajaran pendidikan, iaitu Kurikulum bagi latihan perguruan
juga akan dikaji semula, antaranya untuk menambah baik kandungan mata
pelajaran, meningkatkan kemahiran pedagogi dan membolehkan penggunaan ICT yang
lebih meluas dalam bidang pendidikan. (RMK 9, 2006, p. 31)
Menyedari
kepentingan penggunaan ICT pada masa kini, maka guru digalakkan mengukuhkan
penggunaan teknologi dalam proses pengajaran. Antara usaha untuk membentuk satu
proses pengajaran supaya pelajar memahami sesuatu konsep adalah dengan
mengintegrasikan penggunaan teknologi dalam bentuk yang boleh difahami oleh
pelajar. Untuk menjadikan suasana pembelajaran lebih bermakna dengan
mengintegrasikan teknologi di dalam pengajaran ini juga, guru perlu mempunyai
kesediaan dan pengetahuan mengenai teknologi yang akan digunakan. Terutamanya
memberi perhatian terhadap bagaimana dan bila teknologi dapat digunakan dengan
berkesan di dalam kelas matematik (Powers & Blubaugh, 2005).
Penggunaan
teknologi sebagai bahan bantu mengajar juga dapat menggalakkan pembelajaran
secara penemuan dan bereksperimen. Tujuan teknologi pengajaran ialah
untuk mengubah dan memberi kesan terhadap pembelajaran. Pembelajaran adalah
matlamat, manakala pengajaran adalah cara untuk mencapai matlamat ini. Guru
harus memahami maksud pembelajaran untuk mencapai matlamat yang dituju.
pembelajaran untuk mencapai matlamat yang dituju.
Selain
mewujudkan pengajar yang kompeten, tumpuan utama teknologi pendidikan
ialah untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan. Pengajaran yang berkesan
membolehkan pelajar memperoleh kemahiran, pengetahuan dan sikap yang
diharapkan. Pengajaran yang dirancang dengan teliti dan lengkap membantu
mewujudkan keyakinan, kepercayaan dan perasaan hormat pelajar terhadap pengajar
sekaligus membantu pembinaan disiplin yang positif.
Teknologi
pendidikan perlu dititik beratkan dalam penyampaian kandungan P&P oleh
guru. Murid-murid perlu dibawa keluar daripada kepompong ciri-ciri pembelajaran
abad ke-19, antaranya, guru ibarat pelayan komputer (server) yang meyimpan
beribu-ribu maklumat dan murid ibarat cakera keras (hard disk) tanpa memori
yang menunggu untuk diisi. Gaya pembelajaran terkini, seperti yang ditegaskan
dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), menyarankan penggunaan pelbagai
pendekatan seperti pembelajaran secara hands on, kontekstual, konstruktivisme
dan masteri, melalui permainan dan inkuiri penemuan; dan berasaskan projek.
Pendekatan
yang digunakan haruslah memberi peluang yang tidak terhad kepada murid dan mengambil
kira tahap kecerdasan murid. Ini adalah selaras dengan gaya pembelajaran abad
ke-21 yang berpaksikan literasi era digital, murid berfikir secara kreatif dan
inovatif, kemahiran komunikasi yang berkesan dan penghasilan kerja yang tinggi.
Alvin Toffler, seorang penulis yang terkenal dalam bidang revolusi digital
pernah mengatakan, “The illiterate of the 21st century will not be those who
cannot read and write, but those who cannot learn, unlearn and relearn.” (Buta
huruf pada abad ke-21 bukanlah individu yang tidak boleh membaca dan menulis
tetapi terdiri daripada individu yang tidak boleh belajar, belajar meninggalkan
apa yang telah dipelajari dan belajar semula). Tuntutan kehidupan abad ke-21
memerlukan reaksi pantas manusia untuk berubah mengikut keadaan dan situasi
agar tidak ditenggelami oleh tsunami teknologi.
Gaya
pengajaran guru perlu seiring dengan gaya pembelajaran murid agar tidak P&P
dapat dilaksanakan dengan berkesan. Justeru, guru-guru perlu mengambil sikap
yang terbuka dalam mengetahui dan mengenal pasti teknologi pendidikan berkesan
yang menggabungjalinkan teori instruksional dan teori pembelajaran. Seperti
seorang tukang rumah yang mempunyai peralatan seperti tukul, paku, tangga dan
sebagainya, murid-murid perlu dibekalkan dengan pelbagai peralatan (teknologi)
yang dapat membantu mereka belajar dengan cepat dan berkesan. Dengan wujudnya
gabungan literasi maklumat dan teknologi pendidikan yang baik, pembelajaran
akan menjadi lebih bermakna dan memberi impak yang besar dalam proses Membangun
Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti yang menjadi misi Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Antara
peranan dan kepentingan lain teknologi pendidikan ialah untuk mengubah
peringkat membuat keputusan, mengubah sistem atau pendekatan pembelajaran, dan
mengubah pengalaman pembelajaran. Penggunaan ICT dalam
proses pengajaran dan pembelajaran banyak memberi kesan yang baik kepada
murid-murid khususnya yang di sekolah rendah. Namun begitu terdapat juga
kelemahan yang timbul kesan daripada penggunaan ICT dalam pengajaran dan
pembelajaran.
Penggunaan
ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kecekapan
dan keberkesanan hasil pembelajaran. Hal ini kerana guru dapat membuat
persiapan dan bersedia dengan lebih awal dalam menjalankan proses pengajaran
dan pembelajaran. Melalui cara ini guru dapat mencari maklumat-maklumat
berkenaan dengan pengajaran dengan lebih baik seterusnya dapat menyampaikan
kepada pelajar secara berkesan. Melalui penggunaan alat ICT sebagai alat bantu
mengajar maka proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik dan
berkesan contohnya menggunakan alat seperti power point, flash, video, visual
dan mereka hanya perlu mengaplikasikan alatan tersebut ke dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.
Melalui
cara ini proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih
mudah, ringkas dan padat kerana pelajar akan didedahkan dengan gambaran dan
persembahan menarik serta mudah untuk di fahami. Justeru itu pelajar tidak akan
mudah merasa jemu dan bosan dalam menjalani proses pengajaran dan
pembelajaran kerana tertarik dengan gaya persembahan yang ditunjukkan melalui
ICT.
Di
samping itu kesan penggunaan ICT ialah dapat menjadikan proses pengajaran dan
pembelajaran lebih aktif serta mewujudkan suasana pembelajaran yang
menyeronokkan. Dengan adanya ICT guru dapat mempelbagaikan proses pengajaran
dan pembelajaran dan bukan hanya tertumpu kepada teknik pengkuliahan sahaja
bahkan dapat mempertingkatkan kualiti pengajaran dengan menggunakan pelbagai
kemudahan yang terdapat dalam ICT.
Melalui
penggunaan alat ICT guru dapat menerangkan kepada pelajar dengan lebih
terperinci serta mendalam mengenai sesuatu subjek. Contohnya penggunaan
internet sebagai alat untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai
dunia pendidikan. Kemahiran menggunakan internet membolehkan guru dan pelajar
mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang terkini dengan lebih cepat serta
efisen tanpa perlu menunggu masa yang lama seterusnya dapat di gunakan dalam
aktiviti pembelajaran. Melalui cara ini kualiti pengajaran dan pembelajaran
akan lebih berkesan kerana maklumat-maklumat dapat terus di akses ke dalam
sistem.
Penggunaan
ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat penting kerana ia dapat
meningkatkan kemahiran guru dan pelajar. Melalui penggunaan ICT dalam proses
pengajaran dan pembelajaran pelajar akan didedahkan dengan pelbagai alatan dan
bahan mengenai ICT seperti komputer, LCD, CD, pendrive, hardware, software,
internet dan sebagainya. Semua benda yang berkenaan dengan ICT mempunyai
berbagai fungsi dan kegunaannya yang tersendiri dalam menjalani proses
pengajaran dan pembelajaran disekolah. Hal ini kerana melalui penggunaan ICT
dalam pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar akan lebih menguasai
teknologi-teknologi terkini yang dapat membantu dalam memahami setiap subjek
yang dipelajari serta menyimpan, memproses dan merekod setiap maklumat yang
diperoleh.
Kemahiran
dalam menggunakan ICT ini mampu memberi nilai tambah kepada guru agar dapat
menggunakannya untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar agar ianya mudah untuk di
fahami. Di samping itu guru juga dapat menambahkan pengetahuan mengenai sistem
ICT melalui pengalaman yang diperoleh semasa menjalankan proses pengajaran
tersebut. Ini kerana semasa proses pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar
akan saling berinteraksi tentang apa yang dipelajari serta bertukar pendapat
mengenai keberkesanan menggunakan sistem ICT ini di samping memberi cadangan
bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian. Melalui cara ini guru dan
pelajar akan berusaha lagi menambahkan pengetahuan mengenai teknologi ICT ini.
Dalam era dunia tanpa sempadan ini guru dan pelajar perlu menggunakan setiap
teknologi yang ada agar tidak ketinggalan khususnya di dalam bidang pendidikan
yang banyak menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pengetahuan yang mendalam mengenai ICT amat penting bagi guru agar ianya
dapat di aplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memudahkan
lagi pemahaman murid.
Selain
itu manfaat yang diperoleh kesan daripada penggunaan ICT dalam proses
pengajaran dan pembelajaran ialah dapat memberi peluang pembelajaran yang sama
kepada semua pelajar yang pelbagai keupayaan. Di dalam sesebuah kelas tidak
semua pelajar mempunyai kebolehan yang sama dalam menerima sesuatu yang diajar
oleh guru. Justeru itu melalui penggunaan ICT murid-murid dapat memahami apa
yang diajar dengan lebih jelas kerana proses pengajaran dan pembelajaran akan
lebih menarik serta berkesan hasil daripada penggunaan alatan ICT tersebut.
Contohnya melalui penggunaan alat seperti power point, grafik, audio, video dan
sebagainya maka murid-murid akan lebih memahami setiap apa yang di ajar kerana
di beri gambaran dan persembahan dan persembahan yang lebih mudah untuk
difahami berbanding dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk
pengkuliahan. Melalui cara ini setiap masalah yang timbul dapat segera
dimaklumkan oleh pelajar kepada guru kerana mereka mudah bertindak balas
terhadap sistem yang diajar menggunakan ICT.
Dalam konteks ini, para murid dapat menggunakan Internet untuk membantu
pembelajaran mereka juga antara kepentingan teknologi maklumat kepada manusia.
Senario ini dapat dilihat apabila sudah ada banyak laman ‘blog’ yang berkaitan
dengan sesuatu subjek mengikut sukatan pembelajaran di sekolah yang memenuhi
Internet. Dalam ‘blog’ tersebut, terdapat banyak cara menjawab soalan
peperiksaan dan tips yang diberikan untuk menghafal sesuatu sukatan
pembelajaran. Kebiasaannya, tips-tips ini diberikan sendiri oleh
guru-guru cemerlang yang ada di seantero Malaysia. Rentetan itu, hal ini
akan sedikit sebanyak membantu para murid dalam meningkatkan lagi kefahaman
mereka terhadap sesuatu subjek yang mereka lemah. Hal ini juga akan dapat
membuatkan seseorang murid itu dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik
lantas membolehkan mereka mendapat keputusan yang cemerlang.
KEKANGAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI
DALAM PENDIDIKAN
Secara umumnya, dasar ICT dalam
pendidikan telah dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin pada 12 Oktober 2011.
Antara asasnya adalah untuk pembangunan modal insan secara berterusan,
penggunaan teknologi ICT yang bersesuaian dalam pendidikan, serta transformasi
proses pendidikan melalui teknologi. Meskipun begitu, asas-asas tersebut masih
belum dapat dicapai sepenuhnya kerana menurut Harison Bakar (2008), pada tahun
2003, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan komputer riba
sebagai alat teknologi bagi memudahkan guru dalam pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran Matematik, Sains, dan Bahasa Inggeris namun demikian, dalam
tinjauan yang dijalankan pada bulan Mac hingga Mei 2007, didapati ramai guru
yang masih belum mengaplikasikan alat canggih tersebut secara optimum.
Selain itu, menurut Md. Nor Bakar
& Rashita A. Hadi dalam Journal of Science and Mathematics Educational,
Volume 2 pada Jun 2011, satu rekod penyelenggaraan yang dijalankan di sebuah
sekolah menunjukkan rekod penggunaan pada tahap yang rendah. Hal ini secara
tidak langsung memperlihatkan kepada kita bahawasanya penggunaan teknologi
dalam pendidikan di negara kita masih belum dapat diimplementasikan secara
total, terutamanya dalam kalangan guru. Ini disokong oleh Rosnaini Mahmud, Mohd
Arif Hj. Ismail & Jalalludin Ibrahim dalam Jurnal Teknologi Pendidikan
Malaysia 2011 yang menjalankan kajian berkaitan penggunaan ICT dalam kalangan
guru di sekolah menunjukkan tahap yang rendah. Kita dapat memahami mengapa
terjadinya perkara ini kerana di sesebuah sekolah, bukan semua guru yang ada
merupakan ‘fresh graduate’ yang kebanyakannya sudah biasa dengan penggunaan
gajet-gajet yang sedia ada pada kini. Tidak dapat kita nafikan, guru-guru
senior masih selesa dengan penggunaan cara manual untuk sesi PDP dan untuk
melakukan perubahan bagi sesuatu budaya memakan masa yang agak lama kerana
bukan semua guru bersedia untuk berubah dek lebih selesa dengan sesuatu yang
mereka biasa.
Dalam Jurnal Teknologi Pendidikan
Malaysia Bilangan 2, Nombor 1, Mac 2012, ada menyatakan walaupun ICT telah
diperakui mempunyai pelbagai kelebihan, namun tahap penerimaan pengguna
khususnya guru terhadap inovasi tersebut didapati masih berbeza-beza. Sebagai
contoh, dalam beberapa kajian yang dijalankan, didapati tahap pengintegrasian
ICT berada pada tahap yang sederhana (Jalalludin Ibrahim, 2008; Sazliza Mat
Isa, 2008). Manakala beberapa kajian yang lain menunjukkan tahap
pengintegrasian ICT yang masih lagi rendah (Rosnaini Mahmud & Mohd Arif
Ismail, 2008; Fariza Khalid, 2007; Azwan Ahmad et al, 2003). Hal ini dapat
dibuktikan melalui penyataan dalam Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
Bilangan 2, Nombor 1, Mac 2012, iaitu melalui bacaan yang direkodkan oleh
setiap projektor LCD, purata setiap projektor LCD ini beroperasi hanyalah
selama 29 jam dalam jangka masa dua tahun yang boleh dikatakan sangat rendah (MHS,
2005). Namun begitu, kita semua juga sedia maklum yang tidak semua sekolah
dapat dilengkapi dengan kemudahan seperti projektor LCD dan juga makmal-makmal
komputer untuk kegunaan warga sekolah. Misalnya, di sekolah pedalaman Sabah dan
Sarawak, masih terdapat sekolah yang tiada bekalan air dan elektrik.
Kekangan-kekangan seperti ini membuatkan dasar ICT yang diperkenalkan sebelum
ini terbantut pelaksanaannya secara total.
Seterusnya, isu yang ingin
dibangkitkan bagi kekangan pelaksanaan ICT dalam pendidikan di negara kita
adalah faktor masa. Kesuntukan masa menggunakan ICT oleh guru-guru menjadi
penghalang manakala sikap positif, keyakinan diri, dan kemahiran menggunakan
ICT menjadi pendorong pelaksanaannya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran
(PDP), (IAB, 2008). Contohnya, masa bagi satu-satu mata pelajaran seperti
Matematik atau Sains adalah singkat dan terhad, 40 minit bagi satu sesi. Jika
guru-guru ingin mengguna pakai ICT untuk mengajar, ia memerlukan persediaan
yang memakan masa paling kurang 5 minit, sebelum dan selepas pengajaran. Itu
belum lagu termasuk masa yang akan terbazir sekiranya terdapat apa-apa masalah
yang timbul dengan alat-alat elektronik yang ingin digunakan. Tambahan pula,
guru-guru sangat mementingkan penggunaan masa yang optimum bagi setiap sesi
kerana mereka perlu mengejar silibus mata pelajaran yang diajar, terutama
sekali bagi kelas-kelas peperiksaan. Hal ini amatlah dititik beratkan agar para
pelajar dapat mengulang kaji pelajaran pada masa yang ditetapkan.
Kemudian, permasalahan yang timbul
adalah masalah perisian kursus yang dibekalkan. Perisian kursus yang dibekalkan
oleh KPM adalah terhad dan tiada kepelbagaian aras kebolehan pelajar. Hal ini
adalah berikutan perisian yang dibekalkan adalah untuk aras kefahaman sahaja
dan tiada penambahbaikan untuk kegunaan pelajar. Menurut Harison Bakar (2008),
penggunaan ‘chalk & talk’ dianggap lebih berkesan oleh sesetengah guru
kerana kandungan CD yang dibekalkan oleh KPM adalah amat ringkas. Dalam kajian
yang dijalankan, antara pendapat guru ialah, pengajaran secara ‘chalk &
talk’ lebih memuaskan hati kerana berlakunya perhubungan secara dua hala,
kandungan perisian tidak mengikut format peperiksaan, serta perisian kursus
hanya sesuai untuk pelajar yang lemah semata-mata.
Kemudian, sistem pendidikan di
negara kita juga amat berorientasikan peperiksaan. Penekanan berlebihan kepada
peperiksaan membuatkan bukan sahaja para pelajar, malah warga sekolah yang lain
terutamanya guru berasa tertekan dan terkejar-kejar untuk menghabiskan silibus
pelajaran. Guru juga perlu memantau buku-buku latihan dari semasa ke semasa
agar tahap kefahaman mereka dapat diketahui oleh guru agar mereka yang lemah
dapat dibantu daripada terus tercicir. Kebanyakan guru lebih selesa menggunakan
kaedah biasa yang dianggap cepat, berkesan, dan mempunyai bukti kerana jika
kaedah yang baru diguna pakai, belum tentu akan menjanjikan peningkatan dalam
pelajaran para pelajar masing-masing. Sebenarnya, penekanan kepada peperiksaan
mewujudkan beberapa fenomena yang berikut, iaitu guru mengajar dengan kaedah
yang biasa sahaja, mengajar dan belajar hanyalah semata-mata untuk lulus dalam
peperiksaan, guru menghabiskan sukatan seberapa segera, serta suasana
pembelajaran yang lumpuh yakni selalunya sesi pengajaran hanya berpusatkan guru
sahaja. Menurut Toh (2003), penekanan kepada peperiksaan terutamanya
peperiksaan piawai bagi keseluruhan pelajar pada akhir tahun KBSR dan KBSM
menyebabkan guru lebih cenderung untuk melaksanakan proses pengajaran yang
berpusatkan guru kerana kaedah ini terbukti lebih berkesan untuk menghasilkan
pelajar yang akan mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Guru yang
berjaya menghasilkan bilangan pelajar yang ramai mendapat keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan biasanya akan dilihat sebagai guru yang berkesan.
Tambahan pula, sikap pentadbir juga
memainkan peranan yang penting dalam pengimplementasian ICT di sekolah. Menurut
Mohd Izham & Norazah (2007), mereka berpendapat bahawa segala perubahan
sekolah terutamanya tentang pelaksanaan ICT di sekolah perlu bermula daripada
keprihatinan dan tindakan pentadbir sekolah itu sendiri iaitu pentadbir selaku
pemimpin sekolah perlu merangka dan merancang segala perubahan budaya positif
dan teknologi yang berasaskan ICT di sekolah. Antara peranan pentadbir untuk
menjayakan dasar ICT di sekolah adalah, mereka perlu menyediakan prasarana yang
sesuai dan lengkap untuk kegunaan warga sekolah seperti komputer dan projektor
LCD. Namun, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil oleh pihak pentadbir
seperti mengunci komputer dengan baik agar tidak dicuri oleh pihak yang
bertanggungjawab dan kemudahan yang disediakan dapat digunakan untuk suatu
tempoh yang lama. Sering kali terjadi sesi pengajaran yang menggunakan komputer
terbantut apabila komputer yang disediakan kurang lengkap seperti tiada tetikus
dan monitor dek hilang kerana kecurian. Selain itu, pentadbir juga perlu
menyediakan latihan kemahiran, baik kepada pelajar mahupun guru, tanpa mengira
umur. Guru-guru senior sebenarnya mempunyai pelbagai idea, yang mana jika kita
menggunakan kaedah ICT berkemungkinan akan lebih menarik dan memudahkan para
pelajar untuk memahami sesuatu topik. Malah, pasti akan lebih meringankan beban
guru. Sayangnya, mungkin kerana kurang kemahiran untuk mengguna pakai kemudahan
alat elektronik yang sedia ada, mereka hanya mengulang cara yang sama, iaitu
secara manual. Para pelajar yang pelbagai memerlukan seseorang guru itu
mempelbagaikan caranya mengajar dan menjadi kreatif. Kaedah pengajaran yang
menarik akan mengelakkan para pelajar daripada berasa bosan semasa berada dalam
kelas dan membantu mereka untuk kekal fokus.
Malah, pihak pentadbir juga perlu
peka terhadap masalah penyelenggaraan komputer. Sering kali terjadi komputer
yang rosak terus tidak dapat digunakan kerana tiada inisiatif daripada pihak
pentadbir untuk membaik pulih komputer atau prasarana seperti LCD projektor.
Alat-alat elektronik seperti itu sewajarnya diselenggara secara berkala dan
dibekalkan dengan perisian yang bermutu serta berkualiti supaya banyak pihak
membuka mata bahawasanya kerajaan bersungguh-sungguh untuk menyerapkan budaya
ICT dalam sekolah di Malaysia. Pentadbir sekolah juga perlu turut serta dalam
pemilihan pembekal alat-alat elektronik ke sekolah. Mendapatkan alatan yang
berkualiti dan bermutu merupakan hak pengguna dan hal ini diaplikasikan dalam
pemilihan alatan yang dibekalkan di sekolah kerana sekiranya alatan yang
dibekalkan tidak elok keadaannya, ia kan membuang masa banyak pihak untuk
menukar kembali alatan yang diterima. Maka, proses PDP yang mengguna pakai
alatan elektronik tak dapat diadakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Beralih kepada isu yang seterusnya,
dasar ICT masih kurang berjaya dilaksanakan adalah berikutan terdapatnya jurang
digital. Apakah yang dimaksudkan dengan jurang digital? Jurang digital
bermaksud terdapatnya jurang antara satu komuniti dengan komuniti yang lain
dalam akses kepada ICT, pencapaian maklumat melalui ICT, serta memahami dan
menggunakan maklumat daripada ICT. Terdapat empat faktor berlakunya jurang
digital ini. Pertamanya adalah faktor ekonomi. Pihak sekolah kurang
berkemampuan untuk membeli dan mendapatkan khidmat ICT yang bermutu. Kedua,
faktor geografi. Sekolah terbabit tidak mempunyai liputan internet dan bekalan
elektrik yang membolehkan mereka menggunakan kemudahan ini. Ketiga, kemahiran
komputer. Tidak ramai di sekolah itu yang mengetahui bagaimana untuk mengakses
maklumat menggunakan cara dan kaedah yang betul. Dan yang terakhir sekali,
kemahiran bahasa dan literasi. Kebanyakan warga sekolah tidak dapat membaca dan
memahami bahasa internet dengan baik dan hal ini sekali gus membuatkan mereka
berasa malas untuk meneroka dunia baru.
Tambahan pula, penyalahgunaan
internet juga merupakan salah satu kekangan bagi kerajaan untuk melaksanakan
dasar ICT ini. Internet boleh dikatakan sebagai sumber rujukan utama dalam
mengetahui tentang isu-isu semasa tempatan dan juga luar negara, bak kata
pepatah ‘dunia kini di hujung jari’. Internet ini juga merupakan medium hiburan
utama bagi para remaja serta golongan dewasa. Malangnya, kemudahan internet ini
disalah guna oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab. Internet yang
sepatutnya menjadi medan untuk para pelajar berebut-rebut mencari ilmu
pengetahuan, telah digunakan sebagai medium untuk melawat ke laman-laman web
yang tidak bermoral seperti laman pornografi. Kini, hampir semua pelajar lebih
pandai dan mahir dalam menggunakan gajet-gajet terkini. Mereka lebih bijak
dalam meneroka dunia baru namun tidak semua daripada mereka menggunakannya ke
arah kebaikan. Sekiranya tiada pemantauan daripada ibu bapa, guru, dan pihak
berwajib, mereka akan terus menyalahgunakannya untuk tujuan yang tidak
berfaedah. Hal ini secara tidak langsung membuatkan pihak kerajaan perlu mereka
suatu sistem yang cekap dan ketat agar para pelajar tidak boleh memasuki
laman-laman web yang tidak senonoh tersebut. Sekiranya kelas diadakan di
makmal-makmal komputer, guru mestilah memainkan peranan dengan baik. Mereka
perlu memantau setiap komputer yang digunakan oleh pelajar agar mereka tidak
melakukan apa-apa aktiviti yang di luar batasan.
Maka, sejarah
atau ‘history’ setiap laman web yang dikunjungi oleh pelajar mestilah diperiksa
setiap kali tamat satu-satu sesi PDP agar para pelajar sedar akan pantauan yang
dilakukan oleh guru sekali gus membuatkan mereka berfikir panjang sebelum
melakukan sesuatu perkara yang akan memudaratkan diri sendiri serta memalukan
keluarga. Guru perlu bersikap lebih agresif apabila melibatkan perkara-perkara
yang sebegini kerana jika permasalahan seperti ini tidak dibendung sedari awal,
kemungkinan besar mereka akan menjadikan kunjungan ke laman-laman web
pornografi sebagai satu rutin. kelas yang diadakan di makmal komputer dijadikan
sebagai satu peluang keemasan bagi para pelajar seperti ini menjalankan
kegiatan mereka memandangkan tidak semua pelajar bernasib baik untuk mempunyai
sebuah komputer di rumah. Sekiranya dasar ICT ingin dilaksanakan, tindakan
untuk menangani permasalahan yang sebegini haruslah dibincangkan secara serius
dan mendalam.
CADANGAN UNTUK MELAKSANAKAN DASAR ICT DI SEKOLAH
Perkembangan
dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah memberikan impak yang
positif dan baik kepada pelbagai bidang perindustrian termasuklah juga dunia
pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menjadikan penggunaan
pelbagai bahan bantu mengajar (BBM) seperti komputer riba, projektor, cakera
padat, penggunaan pelbagai perisian pendidikan pembelajaran dan berbagai-bagai
bahan bantu mengajar yang lain. Oleh yang demikian, adalah satu keperluan bagi
para pendidik untuk mempunyai kemahiran dalam menggunakan alat-alat elektronik
seperti ini agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pemodenan serta dapat
menarik hati para pelajar untuk belajar secara digital sekali gus dapat membantu para pelajar mereka
untuk mempunyai kebolehan menggunakan gajet-gejet ini. Pengajaran dan pembelajaran
adalah fokus utama pihak pengurusan pendidikan kebangsaan sama ada di peringkat
sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah, seiring dengan dasar
‘Pendidikan adalah untuk Semua’. Justeru, pihak pengurusan pendidikan baik di
peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan sentiasa berusaha dalam
mencari alternatif atau kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaik dalam
usaha untuk meningkatkan keupayaan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran
(Baharuddin, 2005). Latihan aplikasi dan integrasi teknologi maklumat adalah antara
usaha yang telah diperkenalkan di kebanyakan sekolah rendah serta sekolah
menengah.
Selain
itu, antara cadangan yang boleh diketengahkan untuk melaksanakan dasar ICT di
sekolah-sekolah adalah dengan membenarkan murid yang mengikuti program
Pemulihan Khas turut menggunakan ICT dalam sesi PDP mereka. Pelaksanaan ICT
dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap murid yang mengikuti program
tersebut merupakan satu perkara yang tidak hanya mampu memberikan rangsangan
pembelajaran kepada murid, malah dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka
(Abd. Rahman, 1992). Menurut Koh Boh Boon (1982), beliau menyatakan bahawa
pendidikan pemulihan sekiranya diteliti dengan lebih mendalam, sifatnya adalah
lebih terbatas dan lebih khusus kerana ia bertujuan untuk membaiki kelemahan
pembelajaran murid. Pelaksanaan program ini melibatkan murid-murid yang lambat,
iaitu mereka yang lembap atau lambat dalam mencapai matlamat pembelajaran jika
dibandingkan dengan murid-murid lain yang sebaya dengan mereka. Oleh yang demikian,
selaras dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa, ICT digunakan untuk
membantu murid-murid ini dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian akademik dan
memajukan diri seperti mana yang dicapai oleh murid-murid yang lain, khususnya
yang sebaya dengan mereka.
Tambahan
pula, kurikulum bagi melahirkan guru hendaklah lebih mengutamakan teknologi
instruktional berbanding pedagogi. Dalam melihat perkembangan positif yang
berlaku dalam sistem pendidikan kebangsaan, kita juga perlu melihat sama ada tenaga
pendidik kini telah bersedia dalam mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan
komputer dan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sebagai contoh, kajian yang dijalankan oleh Rosseni (2002) ke atas 40 orang
guru. Kajian beliau mendapati bahawa masih terdapat lagi dalam kalangan tenaga
pendidik yang masih tidak tahu menggunakan cakera padat interaktif (salah satu
bahan bantu mengajar dalam pembelajaran berasaskan komputer) dalam pelaksanaan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Daripada kajian beliau, terdapat sebanyak
42 peratus guru tersebut yang mempunyai tahap pengetahuan terhadap penggunaan
cakera padat yang rendah. Sementara itu, sebanyak 48 peratus daripadanya hanya
tahu meneroka dan menilai cakera padat untuk penggunaan pendidikan. Daripada
hasil kajian yang dijalankan oleh Rosseni ini menunjukkan bahawa tahap dan
pengaplikasian cakera padat pendidikan dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran masih berada pada tahap yang rendah. Kebanyakan daripada pendidik
ini hanya menggunakan buku teks sebagai asas utama dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran mereka.
Seterusnya,
pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) hendaklah menyediakan peruntukan
yang sesuai untuk menyediakan teknologi komputer terkini di semua sekolah,
termasuklah yang di pedalaman dan di luar bandar agar tiada pelajar yang
tercicir daripada mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Hal ini adalah berikutan
penggunaan ICT sebagai alat serampang dua mata dalam perkongsian maklumat dan
komunikasi. Pihak KPM boleh mengambil peluang ini untuk mengesyorkan kepada
pihak sekolah dan guru untuk mengambil kesempatan daripada keupayaan ini untuk
menjalankan kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini membolehkan murid dan guru
daripada lokasi yang berbeza untuk menghantar, menerima, dan berkongsi maklumat
dalam pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio, video,
serta animasi. ICT dalam PDP merupakan perkara yang penting dan memerlukan
sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan antara pemimpin
sekolah, guru, pelajar, serta semua pihak. Teknologi multimedia dan juga
internet menyediakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berlainan
daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tradisi. Menerusi penggunaan
teknologi moden ini, para pelajar dapat menguasai sesuatu pembelajaran mengikut
pembelajaran yang mereka minati dan gemari. Di samping itu, teknologi maklumat
dan internet juga secara tidak langsung menyediakan kebolehan interaksi.
Kesimpulannya,
kemajuan dan perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi maklumat perlu
dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan masyarakat dan generasi yang berilmu
pengetahuan dan bijak dalam mentadbir negara pada masa akan datang. Walaupun
terdapat pendapat yang mengatakan bahawasanya penggunaan komputer pada
peringkat pendidikan awal adalah kurang perlu berikutan daripada ketidak
sediaan para pelajar dalam menerimanya, namun pandangan seperti ini perlu
diperbetul agar semua pihak termasuklah ibu bapa, penjaga, guru, dan masyarakat
secara keseluruhannya perlu melihat kepentingan penguasaan kemahiran ini pada
masa akan datang.
Adalah
menjadi tanggungjawab institusi-institusi pendidikan untuk bukan sahaja
mengajar, malah mendidik para pelajarnya untuk menjadi pelapis yang dapat
benar-benar bersedia untuk mentadbir dan menguruskan selok-belok hal negara
dengan baik pada masa yang akan datang. Oleh yang demikian, pendidikan ini
perlu dilaksanakan secara berterusan sedari peringkat awal perkembangan awal
kanak-kanak. Penggunaan komputer dan teknologi maklumat dalam sistem pengajaran
dan pembelajaran adalah sesuatu yang perlu bagi menarik minat kanak-kanak ini
untuk terus menuntut ilmu tanpa mengira sempadan dan segala halangan yang boleh
membantutkan niat mereka untuk menuntut ilmu. Bak kata pepatah, ‘menuntut ilmu
biarlah sampai hingga ke negeri China’.
RUJUKAN
1.
http://www.slideshare.net/isuict12/isuict-presentation-kumpulan-12-12989330
(5.45 petang, 15 Disember 2014).
2.
http://ictchungkonglan.blogspot.com/2012/11/penggunaan-ict-dalam-pembelajaran.html
(12.01 pagi, 16 Disember 2014).
4. Video Kumpulan.












No comments:
Post a Comment